
Tetapi selepas jam 7.30 petang pengawal sudah mula memasuki wad demi wad bagi mencari pelawat yang terus berdegil menunggu, biarpun masa melawat sudah habis. Kalau ada pun yang menunggu, jumlahnya tidak ramai, tetapi semuanya memiliki surat kebenaran menunggu yang diberi pihak hospital.
Jam ketika ini menunjukkan pukul 9.30 malam. Kala ini, kebanyakan pesakit sudah ramai melelapkan mata. Kesakitan yang ditanggung membuatkan mata mudah terlelap.
Sementara itu, Sufian masih lagi merenung siling. Matanya tidak mahu lelap, lagipun dia sudah puas tidur di sebelah siangnya. Penat melayan kunjungan sanak saudara yang tidak putus-putus menyuruhnya bersabar.
Kemalangan jalan raya yang dialaminya tiga hari lepas mengakibatkan dia terpaksa tinggal di hospital. Tangannya patah tiga bahagian dan menurut kata doktor masih ada lagi pembedahan yang perlu dilakukan. Sedang Sufian memikirkan kesakitan yang dialaminya, dia terasa seperti ingin membuang air kecil. Tidak boleh ditahan-tahan lagi.
Dia mahu meminta bantuan jururawat namun berasa segan kerana dia sebenarnya sudah agak sihat sedikit. Mahu tak mahu dia mesti ke sana juga walaupun terpaksa berjalan agak jauh.
Suasana ketika itu semakin sunyi. Tatkala bangun dari katil, Sufian dapat melihat jururawat mula memasuki bilik demi bilik untuk diberikan ubat mengikut sukatan yang telah ditetapkan doktor. Kerana bimbang terkencing di atas tilam, dia segera melangkah menuju ke tandas.
Seminit dua sebelum sampai, dadanya terasa berdebar-debar. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Semakin lama debarannya semakin kuat. Namun digagahi juga memasuki bilik air itu.
Dari satu bilik ke satu bilik yang ditolak, semuanya terbuka. Disebabkan dia sudah terbiasa membuang air kecil di bilik hujung sekali, dia cuba memasuki bilik air itu. Malangnya ia terkunci dari dalam. Sementara itu anak muda ini masih tetap sabar menanti. Tatkala menunggu, dia kemudian seakan terdengar bunyi tong sampah sedang diselongkar.
“Ahh. ada orang rupanya..” bisik Sufian perlahan. Pada sangkaannya, hanya dia seorang sahaja di dalam bilik air ini.
Semakin masa berlalu, dia semakin pelik kerana orang yang dinantikan keluar tidak juga menjengahkan muka. Akhirnya dia nekad menolak pintu bilik air berkenaan dan apa yang mengejutkannya, tiada orang di dalam. Kecut perut Sufian apabila memikirkan perkara itu.
Seingat Sufian, tadi sewaktu menunggu, dia terdengar seperti ada seseorang yang sedang menyelongkar tong sampah dari dalam bilik air itu malah ianya berkunci dari dalam, tetapi setelah beberapa minit dia menolak pintu, tiada sesiapa di dalam.
Hatinya jadi tidak keruan, secepat mungkin dia melepaskan hajat. Ketika dia tergesa-gesa melangkah keluar dari bilik air yang agak menyeramkan itu, pintu keluar pula terkunci dari dalam. Puas dia cuba membuka menggunakan tangan sebelah tetapi gagal.
Ketika itu juga, Sufian terpandangkan seorang lelaki dengan lidah yang terjelir, mata yang kemerahan sedang memerhatikan dirinya. Puas dia menjerit meminta pertolongan tetapi suaranya langsung tidak keluar. Sufian, hampir putus semangat ketika itu. Dia terasa pandangannya agak gelap. Dalam pada itu dia masih cuba membuka pintu bilik air tetapi masih gagal.
Keadaan lelaki itu cukup mengerikan. Lelaki itu mula menyelongkar tong sampah yang berada di hadapannya. Kelihatan lelaki itu memakan seketul daging mentah yang entah dari mana datangnya.
Saat itu, Sufian terus jatuh terjelepok. Dia pengsan di dalam bilik air. Malam itu, gempar di kalangan penghuni hospital ketika seorang pesakit lain melihat Sufian pengsan di atas lantai. Mata Sufian seakan terbeliak memandang sesuatu.
Seorang ustaz di panggil bagi menenangkan Sufian yang sudah mula meracau-racau menyebut sesuatu dalam bahasa Cina. Setelah dipulihkan seminggu kemudian, Sufian mendengar cerita daripada jururawat yang bertugas, seorang lelaki asing pernah menggantung diri kerana tidak tahan dengan tekanan hidup setelah sebelah kakinya dipotong akibat kemalangan.
Kononnya kerana itu, dia cuba menyelongkar segala tong sampah demi mencari kakinya semula. Sebenarnya bukan itu saja Sufian yang terkena tetapi ada lagi dua kes seperti itu yang terjadi sama seperti dirinya. Bagi Sufian, cukuplah itu pengalaman pertama dan terakhir yang dialaminya kerana dia memang serik.
No comments:
Post a Comment